.:: Kata-kata Hikmah ::.

Monday, January 26, 2009

.:: Sedarlah Insan ::.


Di kala malam hari
Tatkala insan lena dibuai mimpi
Aku termenung di sisi mimpi
Mentafsirkan diri sang pencari

" Tidak Aku (Allah SWT) ciptakan jin dan manusia melainkan untuk ber'ubudiah kepadaKu"
Adz-Dzariyat {56}

Mengapakah kita di sini?
Adakah semata-mata
makan...
minum...
tidur...
bermain...
bernafas...

Hatiku ingin bertanya
Kepada setiap insan
Insan yang bergelar manusia
Adakah kita menghargai
Nikmat kehidupan dan keimanan
Nikmat Islam yang dikecapi
Kita membazirkan semua itu!

Tatkala Yang Memberi
Memberi secara percuma
Bagaimanakah kita membalasnya?
Kehidupan kita penuh dengan kelalaian dan kemewahan

Tatkala saudara-saudara kita yang lain
Palestin...
Afghanistan...
Iraq...
Semuanya terseksa dek kesunyian kebangkitan kita
" Adakah kita berani mengaku kepada Allah SWT bahawa kita beriman... Tatkala kita belum diuji?"

Sedarlah wahai saudara seaqidahku
Kehidupan Islam yang dagang
Menuntut kebangkitan dan kesedaran
Daripada kita umat yang terlena
"Maka beruntunglah barangsiapa jika dia berjuang tatkala Islam dalam keadaan dagang"


Salam mahabbah dari "Kesetiaan Yang Sempurna". Coretan kali ini merupakan coretan perkongsian ataupun perkongsian hati dari ana tatkala kita semua melihat mata umat kita terpejam erat dan musuh-musuh Islam sentiasa menyerang kita daripada setiap penjuru.



Di manakah kekuatan hati-hati seaqidah kita? sesungguhnya benralah kata-kata Rasulullah SAW,
" Umat Islam pada akhir zaman ini ramai, tetapi kita ibarata buih-buih di lautan..."


Memang! Tidakkah kita sedar bahawa umat Islam pada hari ini sedang berpecah-belah? Perlukah kita disimbah dengan air agar kita bangun daripada lena yang panjang.

Di sini saya ingin menyeru pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi;


Bangkitlah oh puteraku...dari lena yang panjang
berjuang bagai perwira yang berjasa
Bangunlah oh puteriku...dari mimpi yang palsu
pelihara maruah dan agamamu

.:: Kehidupan Dalam Iman ::.

Orang-orang yang sesungguhnya paling sengsara ialah mereka yang miskin iman dan mengalami krisis keyakinan dan mereka akan selamanya akan berada dalam kesengsaraan, kesedihan, kemurkaan, dan kehinaan.
" Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu maka sesungguhnya baginya adlh hidup yang sempit."


Tidak ada sesuatu yg dapat membahagiakan jiwanya melainkan keimanan yang benar kpd Allah SWT, Tuhan alam semesta. Pendek kata hidup akan hambar tanpa iman. Menurut pelbagai golongan pembangkang Allah yg sama sekali tidak beriman, cara terbaik utk menenangkan jiwa adlh dengan membunuh diri. Menurut mereka, dgn bunuh diri org akan dijauhkan dari segala tekanan, kegelapan dan bencana dalam hidupnya. Alangkah malangnya hidup yang miskin iman. Dan betapa pedihnya seksa dan azab yang akan dirasakan oleh orang-orang yang melencong dari bimbingan Allah di akhirat nanti.

" Dan Kami palingkan hati mereka dan pandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak mahu beriman kpd ayat-ayat Kami ketika datang kpd mereka pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka teraba-raba di dlm kesesatannya dengan bingung."




Kini sudah tiba masanya dunia menerima dgn tulus ikhlas dan beriman dgn sesungguhnya bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah. Bagaimanapun, pengalaman dan ujian sepanjang sejarah hidup di dunia ini dari abad berabad sudah membuktikan banyak hal, menyedarkan akal bahawa berhala-berhala itu tahyul belaka, kekafiran itu punca malapetaka, pembangkangan itu dusta, para rasul itu benar adanya dan Allah betul-betul Penguasa di muka bumi dan langit.

Seberapa besar iman anda maka setakat itulah pula kebahagiaan, ketenteraman, kedamaian, dan ketenangan jiwa anda. Tujuan hidup yg baik (hayatun thayyibah) ialah ketenangan jiwa mereka disebabkan janji baik Tuhan mereka, keteguhan hati mereka dlm mencintai Zat yg menjadikan mereka, kesucian nurani mereka dari unsur-unsur penyimpangan iman, ketenangan mereka dalam menghadapi setiap kenyataan hidup, kerelaan hati mereka dlm menerima dan mengharungi ketentuan Ilahi, dan keikhlasan mereka dlm menerima takdir. Dan itu semua adlh kerana mereka betul-betul yakin dan ikhlas menerima bahawa Allah sebagai Tuhan mereka, Islam sebagai cara hidup mereka dan Muhammad itu pesuruh Allah SWT.

Saturday, January 24, 2009

.:: Sudikah Menjadi Isteri Kedua Saya?? ::.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya. .." Fatimah mula sebak. "Tak. Maksud saya....."

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.

Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.


Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.

Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.
"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.


Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Fikri tersenyum.


Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ya sayang?" jawab Fikri sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail ditangannya. Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri. "Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?"Nusaibah sangat berdebar.

Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"PERJUANGAN" jawab Fikri.


*** "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." [QS al-Taubah 9:24]

Dipetik dari blogspot http://promat8.blogspot.com/