Sikap ikhlas melambangkan kesucian sesuatu kebajikan itu samada ianya ada hubungan dengan Allah SWT mahupun sesama manusia tanpa keikhlasan beramal bererti amal yang dilakukan tiada nilainya walaupun seberat timbangan sayap nyamuk sekalipun di sisi Allah SWT. Ini ditegaskan Allah SWT di dalm firmannya yang bermaksud:
" Mereka tidaklah diperintahkan melainkan beribadat kepadaNya dalam keadaan mengikhlaskan agama kepadaNya." ( Al-Bayyinah: 5 )
Mengikhlaskan hati bukan saja terhad kepada beribadat kepada Allah SWT sahaja malahan juga dalam bertaubat kepadaNya. Kita dituntut untuk melakukannya dengan sebenar-bebar ikhlas, jika tidak sia-sialah amalan kita itu.
Justeru, sifat ikhlas merupakan kunci penerimaan amal yang bersih, suci dan tiada apa-apa kepentingan kerananya. Menurut istilah syariat pula, ikhlas merupakan sesuatu ibadat semata-mata untuk mengecapi mardhotilla. Inilah yang menepati niat, maksud atau motivasi pekerjaan yang dilakukan. Dalam hubungan ini, Rasulullah telah menjelaskan kepada kita dalam sabdanya yang bermaksud:
"Sesungguhnya segala amalan itu bergantung kepada niat dan sesungguhnya setiap manusia itu mendapat akan sesuatu sesuai dengan apa yang diniatkannya itu. barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan RasulNya.Barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan." ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )
Oleh itu wahai pembaca semua, jelaslah bahawa niat itu merupakan penggerak atau penolak keimanan kita untuk melakukan sesuatu amalan. Sebagai seorang Da'ie dan khalifah di muka bumi ini, adakah kita mahu berdakwah secara negatif ataupun secara athifah ? Oleh itu,singkapkanlah kembali hati-hati kita yang kadangkala bertompok ini.
Akhir kata ana mengakhiri madah ini dengan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 112 yang bermaksud:
"Barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah sedangkan dia berbuat baik, maka baginya ganjaran di sisi tuhannya, tiada ketakutan keatas mereka dan mereka tidak akan berdukacita."
Demikianlah jaminan dan janji Allah SWT yang pasti ditepatiNya terhadap orang-orang yang ikhlas dalam setiap saat hidupnya. Wassalam...
No comments:
Post a Comment