.:: Kata-kata Hikmah ::.

Saturday, October 6, 2007

.:: Kesedihan Meninggalkan Ramadhan ::.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang berbahagia,
Kita telah pun memasuki hari-hari terakhir bulan Ramadhan. Kini kedatangan 1 Syawal semakin dirasakan. Setentunya kita selaku umat Islam merasa gembira dengan kedatangannya, tetapi kita merasa kesedihan untuk meninggalkan Ramadhan yang penuh rahmat dan keberkatan ini. Tidak dapat dinafikan sebahagian besar di antara kita telah pun membuat persiapan-persiapan untuk menyambut kedatangan ‘Aidilfitri’ yang mulia, antaranya keperluan-keperluan rumah, pakaian, makanan dan minuman. Semua ini adalah semata-mata untuk meraikan hari raya agar sentiasa dalam suasana kegembiraan.

Sememangnya agama Islam tidak menghalang kita dari membuat segala macam persiapan asalkan ianya tidak bertentangan dengan lunas-lunas ajaran agama Islam. Apa yang penting diamalkan ialah sifat kesederhanaan dan tidak berlebih-lebihan sehingga membawa kepada pembaziran yang bertentangan dengan latihan rohani yang telah kita amalkan sepanjang bulan Ramadhan. Kerana sifat pembaziran itu adalah perbuatan syaitan sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala :-

Tafsirnya :
Dan janganlah kamu membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah mahkluk yang sangat kufur kepada tuhanNya’. (Surah Al-Israa : 26 dan 27).

Ahli Jumaat sekalian,
Dalam kesibukan kita membuat persiapan bagi menyambut kedatangan bulan Syawal, perlulah juga kita ingat agar jangan sampai kita terlupa kewajipan yang perlu kita laksanakan iaitu membayar zakat khususnya ‘Zakat Fitrah’. Kewajipan ‘Zakat Fitrah’ itu adalah merupakan pelengkap ibadat puasa kita dan juga sebagai penutup kepada kecacatan-kecacatan yang berlaku dalam kita mengerjakan ibadat puasa. Bahkan juga sebagai penghubung yang boleh menghapuskan jurang perbezaan di antara si kaya dengan si miskin. Selain daripada kewajipan zakat fitrah kita juga diwajibkan untuk mengeluarkan zakat harta kekayaan iaitu yang dihasilkan melalui perniagaan, penternakan dan lain-lain lagi yang diwajibkan mengikut hukum syara’, kerana dari harta-harta yang terkumpul itu dikhuatiri terdapat hak golongan-golongan yang dinyatakan dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Taubat, ayat 60 :-

Tafsirnya :
Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir yang keputusan dalam perjalanan. Ketetapan hukum yang demikian itu ialah sebagai satu ketetapan yang datang dari Allah, dan ingatlah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam kemeriahan kita menyambut ketibaan hari raya, kita juga jangan lupa kepada mereka yang telah pun meninggalkan kita iaitu meninggal dunia. Kelaziman yang kita lakukan di negara kita ialah menziarahi kubur, lebih-lebih lagi ketika berada di bulan Ramadhan. Kenapakah kita dianjur menziarahi kubur? Antara lain ialah supaya kita sentiasa ingat kepada mati dan sentiasa insaf dan sedar agar tidak terlalai daripada mengingati Allah Subhanahu Wataala dan hanya mengejar kesenangan dan kemewahan hidup di dunia.

Perlu diingat dalam kita menziarahi kubur itu, kita hendaklah mematuhi adab-adab yang telah digariskan oleh agama Islam, antaranya ialah sebelum ke kubur, kita hendaklah berwudhu, memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat. Apabila sampai di tanah perkuburan, kita disunatkan memberi salam kepada ahli kubur, yang berbunyi : “Assalamualaikum Ya Ahlal-Kubur’ ataupun “Assalamualaikum Ya Ahlad-Diyar” dan setelah itu sunat bagi kita membacakan kepada ahli kubur seperti surah Al-Fatihah, surah Yaasin dan bertahlil dan sebagainya dan doakanlah semoga roh-roh mereka agar dicucuri rahmat dan mendapat pengampunan dari Allah Subhanahu Wataala. Dan semasa berada di tanah perkuburan kita dilarang membuat kekotoran, sebaliknya kita hendaklah menjaga kebersihan kawasan perkuburan.

Wahai kaum muslimin,
Semasa kita masih lagi berada di bulan Ramadhan ini, marilah kita sama-sama berusaha mempertingkatkan ibadat kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan mematuhi segala adab dan peraturan dalam kita mengerjakan ibadat tersebut agar kita dapat merasa betapa kenikmatan berpuasa dan berhari raya itu.

Janganlah disia-siakan masa yang hanya tinggal sedikit ini dan janganlah beranggapan bahawa kita masih berpeluang melakukannya di bulan Ramadhan akan datang kerana kita tidak tahu bilakah ajal akan menemui kita.

Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-A’raaf, ayat 34 :

Tafsirnya :
Apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisaa, ayat 78 :-

Tafsirnya :
Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal). Sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.

No comments:

Post a Comment