.:: Kata-kata Hikmah ::.

Thursday, March 29, 2007

.:: Memulakan Perjalanan Baru ::.by Abu Munzir

Salah perkara yang penting untuk diberikan perhatian yang serius adalah berhubungan dengan penyucian diri dan pembentukan diri menjadi mukmin. Kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat bergantung kepada usaha kita dalam menyucikan hati kita dan membentuk diri kita ke arah menjadi mukmin yang sebenar.

Allah SWT di dalam Al Qur’an, Surah asy Syams (91:9):
“Sungguh beruntung orang yang menyucikan (jiwa itu)”

Syakhsiyyah bukan sahaja jasad fizikal kita sahaja tetapi juga minda dan hati, perasaan dan sikap, akhlak dan perangai kita. Pembentukan dan pembangunan semua unsur ini akan membawa kita kepada kejayaan dunia dan akhirat.

Sekiranya seseorang berhajat kepada natijah keimanan yang mantap dan kebahagiaan yang hakiki, dia juga semesti berhajat kepada proses yang membawanya kepada natijah tersebut.

Sekiranya hajat kita untuk mardhatillah adalah sangat kuat maka sewajarnya hajat kita melalui proses yang membawa kita kepada mardhatillah ini semestinya sangat kuat juga. Kita tidak punya pilihan lain melalui proses ini dengan penuh kesungguhan dan kesabaran.

Bagi seorang mukmin, tujuan atau matlamat hidup yang teragung sekali adalah memperolehi mardhatillah atau keredhaan Allah SWT.

“Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui” (Surah al Ankabut (29): 64)

Kita perlu memahami dan menyedari bahawa harga keredhaan Allah SWT itu mahal dan hanya diperolehi oleh mereka yang sanggup membayar harganya. Ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Surah Al Baqarah, ayat: 207:

“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya”

kebalikan mendapat syurga adalah dimasukkan ke dalam Jahannam dan menerima azab Allah di dalamnya. Oleh kerana itu kita juga meneliti punya dan kelayakan apa yang menyebabkan seseorang itu masuk neraka.

Jawapannya adalah neraka itu adalah tempat mereka yang mengabaikan hak-hak Allah atas diri mereka dan mengabaika pemprosesan hatinya untuk benar-benar beriman dan berkemampuan untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan iman dalam hidupnya di dunia.

Cita-cita yang paling tinggi perlu ada dalam jiwa adalah untuk mendapat syurga Allah dan seluruh potensi diri mestilah difokuskan untuk memenuhi kelayakan mendapat redha Allah SWT melalui proses tarbiyyah Islamiyyah yang berasaskan tarbiyyah keimanan.

Pemilihan akhirat dan syurga sebagai matlamat akhir yang sangat dihajati mestilah dibuat secara faham dan sedar dan menuntut kita untuk memutuskan hubungan hati kita dengan gaya hidup kita yang lalu. Kita perlu melakukan hijrah hati.

Kita perlu membuat keputusan sama ada kita benar-benar mahu menjadikan syurga sebagai matlamat hidup kita. Memilih matlamat ini bererti memilih cara hidup yang baru, cara hidup yang berteraskan ketaatan kepada Allah SWT dalam semua hal.

Oleh itu wahai putera-puteri yang dikasihi! Mulakanlah hijrah hati anda dengan mengambil wudhu’ dengan sebaik-baiknya dan tunaikanlah dua rakaat solat taubat. Setelah itu fikir-fikirkan bersungguh-sungguh detik-detik menggerunkan yang mendatang. Ingatlah azab neraka yang anda telah berazam untuk mengelakkannya. Ingatlah ketika malaikal maut datang kepada anda dan memberitahu bahawa “Masa anda telah tamat dan tibalah masa untuk nyawa berpisah dengan jasadmu”. Ingatlah azab neraka dengan buah zaqqum sebagai makanan yang memenuhi perut dan diberi air panas sebagai minuman. Itulah yang difirmankan Allah di dalam Surah Al Waqi’ah.
Berdoalah anda dengan sebenar-benar doa:
“Ya Allah! Hamba-Mu ini memohon keampunan-Mu dan apa jua yang membawa diriku hampir kepada keampunan-Mu, dalam bentuk perkataan mahupun perbuatan!

Ya Allah ! Hamba-Mu ini memohon sudi kiranya Engkau kurniakan kepadaku iman yang tidak akan lenyap; barakah yang tidak akan hilang; dan kenikmatan yang tidak akan pudar dan ku pohon dari-Mu kedudukan tinggi di syurga-Mu”

Kita menyedari bahawa memperbaiki tabiat dan tindak tanduk dalam hidup kita adalah satu proses yang akan kita lalui sepanjang hayat. Walau bagaimanapun hajat atau kehendak kita untuk mencapai hasilan ini mestilah sentiasa semarak dalam jiwa kita. Hajat ini akan menjadi momentum untuk memperolehi tujuan atau matlamat yang tinggi dan suci ini. (insyaAllah)

By Abu Munzir
http://tinta-tarbawi.com/

No comments:

Post a Comment